Perhatian Kpd ibubapa baca la berita ini utk rujukan kita bersama :-)
MASIH ingatkah anda pada usia berapa anda dikhatankan?
Tidak seperti lelaki, berkhatan atau bersunat bagi wanita sesuatu yang tidak diperbesar-besarkan. Malah ada ibu bapa moden kini tidak membenarkan anak perempuan mereka dikhatankan kerana menganggap sebagai satu bentuk penderaan.
Terdapat pelbagai pandangan atau salah anggapan mengenai proses berkhatan bagi kanak-kanak perempuan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menentang proses berkhatan kerana menganggap ia menghalang hak asasi manusia. Namun, masih ramai berhujah dan mempertahankannya kerana ia dikatakan sebagai satu bentuk penghormatan kepada wanita.
Di negara Islam seperti Afrika, Sudan dan Mesir, kanak-kanak dikhatankan dengan cara yang 'menyeksakan' sehingga mendatangkan kemudaratan. Mereka dikhatankan bukan setakat dibuang 'prepuce', tetapi sehingga keseluruhan bahagian klitoris.
Lebih menyeksakan sehingga ada yang dibuang keseluruhan klitoris, bibir luar dan bibir dalam kemaluan serta dijahit semula sehingga mengecilkan saluran faraj semata-mata mahu memuaskan kepentingan nafsu lelaki ketika bersetubuh.
Menurut Doktor Perubatan Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad, berkhatan dengan cara sebegini dianggap penderaan dan bukannya penghormatan. Ini kerana cara sebegini boleh menyebabkan kesakitan dan mencederakan kanak-kanak.
Dr Zubaidi memberitahu, sejak dulu lagi terdapat salah faham mengenai kaedah berkhatan bagi bayi perempuan terutama di peringkat antarabangsa. Kaedah yang betul adalah hanya dengan membuang prepuce bagi klitoris saja (jenis satu) dan tiada jahitan berlaku pada kemaluan malah prosesnya terlalu ringkas dan tidak menyakitkan.
"Proses berkhatan biasanya berlaku terlalu ringkas. Doktor hanya membuang sedikit prepuce menggunakan gunting dan mungkin hanya menimbulkan kesakitan serta pendarahan yang sedikit saja kepada kanak-kanak," katanya.
Selain dianggap sebagai menghalang kebebasan, WHO juga menentang proses berkhatan yang dilakukan bidan kampung kerana tidak menggunakan pisau yang bersih malah apabila berlaku pendarahan, kanak-kanak itu dibiarkan dengan disuruh merapatkan kakinya saja.
"Malah ada yang dilakukan hanya di belakang semak atau dalam rumah yang kotor.
Itulah yang berlaku di negara Islam di Afrika yang menyebabkan WHO berasakan berkhatan ini suatu kezaliman. Saya percaya ramai ulama Islam juga tidak bersetuju dengan cara itu.
"Sekali lagi saya tegaskan berkhatan dalam kalangan kanak-kanak perlu dilakukan ketika masih bayi dan hanya membuang prepuce saja," katanya yang memberitahu Arab Saudi tidak mewajibkan khatan bagi kanak-kanak perempuan.
Menurut Dr Zubaidi, di Malaysia kanak-kanak seharusnya dikhatankan pada awal usia untuk mengelak rasa malu. Usia yang biasa dilakukan khatan sebelum kanak-kanak mencapai usia setahun iaitu sebelum mereka boleh berjalan iaitu ketika masih bayi. Ada juga dikhatankan sejurus selepas dilahirkan.
Tetapi di tempat lain seperti di Indonesia, Sudan dan Mesir, ada kanak-kanak perempuan dikhatankan ketika sama umurnya dengan kanak-kanak lelaki iaitu antara lapan hingga 12 tahun.
"Ini akan menyebabkan kanak-kanak itu berasa malu dan paling penting, pendarahan akibat berkhatan juga terlalu banyak dan boleh menyebabkan kesakitan," katanya.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan ada menjalankan seminar kaedah berkhatan kanak-kanak perempuan. Dengan cara ini kaedah yang betul diperjelaskan, iaitu kaedah jenis satu.
Jika bidan juga bersama-sama mengikuti seminar itu, pasti kaedah yang sama dilakukan.
"Oleh itu bagi ibu bapa yang ingin menghantar anak perempuan mereka berkhatan menggunakan khidmat bidan, mereka seharusnya memilih bidan bertauliah dan sudah menjalani seminar. Ini supaya kaedah yang mereka lakukan selamat dan bersih," katanya.
Dr Zubaidi merujuk dalam satu riwayat hadis: Seorang wanita (Umm Atiyyah) biasa melakukan khatan di Madinah. Nabi Muhamad s.a.w berkata kepada beliau: "Janganlah potong keterlaluan kerana adalah ia baik bagi seorang wanita dan lebih disukai suami." Sunan Abu Daw�d, Bab 41.
Begitu juga dengan satu hadis daripada Al-Tabarani menyebut : "Potonglah kulit luar (kulit yang menutupi klitoris) dan janganlah potong terlalu dalam (sehingga memotong klitoris itu sendiri), ia akan menceriakan wajah (bagi gadis) dan disukai suami."
Menurutnya, kaedah berkhatan yang diterangkan Rasulullah ialah membuangkan sebahagian kecil kulit yang menutupi klitoris saja (dinamakan prepuce).
Baginda juga dengan jelas menegah melakukan khatan secara keterlaluan iaitu dengan membuang klitoris kerana boleh membahayakan bayi perempuan dan akan mengurangkan keinginan seksual terhadap suaminya.
Selain itu, kebaikan berkhatan bagi kanak-kanak perempuan adalah kebersihan diri iaitu menghalang pengumpulan kuman yang berkumpul di sekeliling klitoris seterusnya memudahkan suami memuaskan kehendak seksual isteri agar diberikan keadilan mendapat kenikmatan ketika bersama suami.
"Pada zaman ini saya tidak nampak mengapa berkhatan tidak boleh diamalkan. Asalkan kaedahnya betul, dilakukan doktor terlatih dan pada masa sama, menggunakan peralatan yang bersih serta dalam suasana selamat. Ramai beranggapan dengan melakukan khatan, ia akan mengurangkan syahwat wanita dan menghalangnya daripada melakukan maksiat.
"Namun, saya berpendapat tujuan berkhatan adalah sesuatu yang berbeza. Ia adalah suatu penghormatan kepada wanita Islam dengan menghargai sensitiviti wanita terhadap kehendak seksualnya dalam menuju kebahagiaan rumah tangga," jelasnya.
Katanya, dalam riwayat Muslim hukum berkhatan bermula dengan satu hadis bermaksud: Lima perkara fitrah yang perlu dilakukan iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak (cukur) dan memendekkan misai. Namun, hadis itu tidak memberi pengkhususan sama ada untuk kanak-kanak lelaki atau perempuan.
"Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi berpendapat hadis yang mewajibkan khatan bagi wanita adalah lemah. Justeru khatan adalah wajib bagi lelaki saja dan harus bagi wanita. Malah khatan digalakkan jika boleh membawa kepada manfaat dan tidak digalakkan jika ia merosakkan wanita," katanya.
Namun di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 dan 23 April 2009 memutuskan hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib. Bagaimanapun, sekiranya proses ini boleh membawa kemudaratan pada diri, ia perlu dielakkan.
" Di dalam Islam ada menyatakan berkhatan akan menceriakan wajah (bagi gadis) dan disukai suami. Ini membawa maksud Islam amat sensitif dan prihatin kepada keperluan naluri wanita.
Jika keperluan seksnya dapat dipenuhi suami, ini akan menyumbang ke arah pembersihan jiwa wanita.
"Ini kerana, membuang kulit yang menutupi klitoris akan menyebabkan seseorang wanita itu mudah mendapat klimaks ketika bersama suami. Klitoris yang terdedah mudah untuk dirangsangkan berbanding jika tidak dikhatan kerana kulit prepuce yang menutupi klitorisnya," jelasnya.
Katanya, inilah keadilan dalam Islam kerana memberikan isteri berasakan kepuasan seksual ketika bersama dan bukan hanya kepuasan suami saja.
"Namun, jika ada remaja wanita mudah diperdaya teman lelakinya, pada saya isu utamanya ialah kelemahan iman. Duduk berdua-duaan semestinya mengundang zina, bukannya masalah gadis itu sudah disunatkan atau belum," ujarnya.
No comments:
Post a Comment