Perhatian Kpd ibubapa baca la berita ini utk rujukan kita bersama :-) 
MASIH ingatkah anda pada usia berapa anda dikhatankan? 
Tidak seperti lelaki, berkhatan atau bersunat bagi wanita sesuatu  yang tidak diperbesar-besarkan. Malah ada ibu bapa moden kini tidak  membenarkan anak perempuan mereka dikhatankan kerana menganggap sebagai  satu bentuk penderaan. 
Terdapat pelbagai pandangan atau salah  anggapan mengenai proses berkhatan bagi kanak-kanak perempuan.  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menentang proses berkhatan kerana  menganggap ia menghalang hak asasi manusia. Namun, masih ramai berhujah  dan mempertahankannya kerana ia dikatakan sebagai satu bentuk  penghormatan kepada wanita.
Di negara Islam seperti Afrika,  Sudan dan Mesir, kanak-kanak dikhatankan dengan cara yang 'menyeksakan'  sehingga mendatangkan kemudaratan. Mereka dikhatankan bukan setakat  dibuang 'prepuce', tetapi sehingga keseluruhan bahagian klitoris.
Lebih menyeksakan sehingga ada yang dibuang keseluruhan klitoris, bibir  luar dan bibir dalam kemaluan serta dijahit semula sehingga mengecilkan  saluran faraj semata-mata mahu memuaskan kepentingan nafsu lelaki  ketika bersetubuh.
Menurut Doktor Perubatan Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd,  Dr Zubaidi Ahmad, berkhatan dengan cara sebegini dianggap penderaan dan  bukannya penghormatan. Ini kerana cara sebegini boleh menyebabkan  kesakitan dan mencederakan kanak-kanak.
Dr Zubaidi  memberitahu, sejak dulu lagi terdapat salah faham mengenai kaedah  berkhatan bagi bayi perempuan terutama di peringkat antarabangsa. Kaedah  yang betul adalah hanya dengan membuang prepuce bagi klitoris saja  (jenis satu) dan tiada jahitan berlaku pada kemaluan malah prosesnya  terlalu ringkas dan tidak menyakitkan.
"Proses berkhatan  biasanya berlaku terlalu ringkas. Doktor hanya membuang sedikit prepuce  menggunakan gunting dan mungkin hanya menimbulkan kesakitan serta  pendarahan yang sedikit saja kepada kanak-kanak," katanya.
Selain dianggap sebagai menghalang kebebasan, WHO juga menentang proses  berkhatan yang dilakukan bidan kampung kerana tidak menggunakan pisau  yang bersih malah apabila berlaku pendarahan, kanak-kanak itu dibiarkan  dengan disuruh merapatkan kakinya saja. 
"Malah ada yang dilakukan hanya di belakang semak atau dalam rumah yang kotor.
Itulah yang berlaku di negara Islam di Afrika yang menyebabkan WHO  berasakan berkhatan ini suatu kezaliman. Saya percaya ramai ulama Islam  juga tidak bersetuju dengan cara itu.
"Sekali lagi saya  tegaskan berkhatan dalam kalangan kanak-kanak perlu dilakukan ketika  masih bayi dan hanya membuang prepuce saja," katanya yang memberitahu  Arab Saudi tidak mewajibkan khatan bagi kanak-kanak perempuan.
Menurut Dr Zubaidi, di Malaysia kanak-kanak seharusnya dikhatankan pada  awal usia untuk mengelak rasa malu. Usia yang biasa dilakukan khatan  sebelum kanak-kanak mencapai usia setahun iaitu sebelum mereka boleh  berjalan iaitu ketika masih bayi.  Ada juga dikhatankan sejurus selepas  dilahirkan.
Tetapi di tempat lain seperti di Indonesia, Sudan  dan Mesir, ada kanak-kanak perempuan dikhatankan ketika sama umurnya  dengan kanak-kanak lelaki iaitu antara lapan hingga 12 tahun.
"Ini akan menyebabkan kanak-kanak itu berasa malu dan paling penting,  pendarahan akibat berkhatan juga terlalu banyak dan boleh menyebabkan  kesakitan," katanya.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan ada  menjalankan seminar kaedah berkhatan kanak-kanak perempuan. Dengan cara  ini kaedah yang betul diperjelaskan, iaitu kaedah jenis satu.
Jika bidan juga bersama-sama mengikuti seminar itu, pasti kaedah yang sama dilakukan.
"Oleh itu bagi ibu bapa yang ingin menghantar anak perempuan mereka  berkhatan menggunakan khidmat bidan, mereka seharusnya memilih bidan  bertauliah dan sudah menjalani seminar. Ini supaya kaedah yang mereka  lakukan selamat dan bersih," katanya.
Dr Zubaidi merujuk dalam  satu riwayat hadis: Seorang wanita (Umm Atiyyah) biasa melakukan khatan  di Madinah. Nabi Muhamad s.a.w berkata kepada beliau: "Janganlah potong  keterlaluan kerana adalah ia baik bagi seorang wanita dan lebih disukai  suami." Sunan Abu Daw�d, Bab 41.
Begitu juga dengan satu  hadis daripada Al-Tabarani menyebut : "Potonglah kulit luar (kulit yang  menutupi klitoris) dan janganlah potong terlalu dalam (sehingga memotong  klitoris itu sendiri), ia akan menceriakan wajah (bagi gadis) dan  disukai suami." 
Menurutnya, kaedah berkhatan yang diterangkan  Rasulullah ialah membuangkan sebahagian kecil kulit yang menutupi  klitoris saja (dinamakan prepuce).
Baginda juga dengan jelas  menegah melakukan khatan secara keterlaluan iaitu dengan membuang  klitoris kerana boleh membahayakan bayi perempuan dan akan mengurangkan  keinginan seksual terhadap suaminya.
Selain itu, kebaikan  berkhatan bagi kanak-kanak perempuan adalah kebersihan diri iaitu  menghalang pengumpulan kuman yang berkumpul di sekeliling klitoris  seterusnya memudahkan suami memuaskan kehendak seksual isteri agar  diberikan keadilan mendapat kenikmatan ketika bersama suami.
"Pada zaman ini saya tidak nampak mengapa berkhatan tidak boleh  diamalkan. Asalkan kaedahnya betul, dilakukan doktor terlatih dan pada  masa sama, menggunakan peralatan yang bersih serta dalam suasana  selamat. Ramai beranggapan dengan melakukan khatan, ia akan mengurangkan  syahwat wanita dan menghalangnya daripada melakukan maksiat.
"Namun, saya berpendapat tujuan berkhatan adalah sesuatu yang berbeza.  Ia adalah suatu penghormatan kepada wanita Islam dengan menghargai  sensitiviti wanita terhadap kehendak seksualnya dalam menuju kebahagiaan  rumah tangga," jelasnya.
Katanya, dalam riwayat Muslim hukum  berkhatan bermula dengan satu hadis bermaksud: Lima perkara fitrah yang  perlu dilakukan iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku,  mencabut bulu ketiak (cukur) dan memendekkan misai. Namun, hadis itu  tidak memberi pengkhususan sama ada untuk kanak-kanak lelaki atau  perempuan.
"Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi berpendapat hadis yang  mewajibkan khatan bagi wanita adalah lemah. Justeru khatan adalah wajib  bagi lelaki saja dan harus bagi wanita. Malah khatan digalakkan jika  boleh membawa kepada manfaat dan tidak digalakkan jika ia merosakkan  wanita," katanya. 
Namun di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa  Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-86  yang bersidang pada 21 dan 23 April 2009 memutuskan hukum berkhatan bagi  wanita adalah wajib. Bagaimanapun, sekiranya proses ini boleh membawa  kemudaratan pada diri, ia perlu dielakkan.
" Di dalam Islam ada  menyatakan berkhatan akan menceriakan wajah (bagi gadis) dan disukai  suami. Ini membawa maksud Islam amat sensitif dan prihatin kepada  keperluan naluri wanita.
Jika keperluan seksnya dapat dipenuhi suami, ini akan menyumbang ke arah pembersihan jiwa wanita.
"Ini kerana, membuang kulit yang menutupi klitoris akan menyebabkan  seseorang wanita itu mudah mendapat klimaks ketika bersama suami.  Klitoris yang terdedah mudah untuk dirangsangkan berbanding jika tidak  dikhatan kerana kulit prepuce yang menutupi klitorisnya," jelasnya.
Katanya, inilah keadilan dalam Islam kerana memberikan isteri  berasakan kepuasan seksual ketika bersama dan bukan hanya kepuasan suami  saja.
"Namun, jika ada remaja wanita mudah diperdaya teman  lelakinya, pada saya isu utamanya ialah kelemahan iman. Duduk  berdua-duaan semestinya mengundang zina, bukannya masalah gadis itu  sudah disunatkan atau belum," ujarnya.